Enam topi berfikir
- Topi Putih
Topi putih digunakan untuk mengumpul secara objektif segala
maklumat yang berkaitan dengan apa yang sedang kita amati. Setiap pengguna topi
putih tidak seharusnya memberi sebarang penilaian atau pendapat terhadap
sesuatu maklumat.
Pendapat sendiri tidak akan dibenarkan sama sekali untuk
dimasukkan sebagai maklumat yang hendak dikumpul atau menguatkan sesuatu pendapat.
Hal ini amat bertentangan dengan pemikiran tradisional yang mana lebih
cenderung kepada membuat keputusan terlebih dahulu dan hanya selepas itu sahaja
barulah membuat jangkaan fakta-fakta untuk menyokong keputusan berkenaan.
Topi putih seringkali digunakan pada permulaan perbincangan
untuk mencorakkan latar belakang sesuatu masalah. Ia juga boleh digunakan
sekali lagi pada akhir perbincangan bagi memastikan sesuatu cadangan atau
keputusan yang telah dibuat itu adalah berdasar kepada maklumat yang telah
dikumpulkan.
- Topi kuning
Topi kuning digunakan untuk mencari nilai-nilai positif. Ia
juga digunakan untuk berfikir secara logikal daripada perspektif yang positif
dan konstruktif. Gaya
pemikiran menggunakan topi kuning amat penting kerana ia dapat menggalakkan
kita untuk mencari nilai-nilai positif sesuatu idea termasuk idea yang pada
mulanya kelihatan tidak begitu menarik.
- Topi hitam
Topi hitam digunakan untuk menganalisis idea atau meneliti
sesuatu cadangan secara logikal dari aspek undang-undang, keselamatan dan
lain-lain agar kita lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu keputusan atau
cadangan. Dalam erti kata lain kita melihat sesuatu keputusan itu dari sudut
negatif. Negatif di sini bermaksud berhati-hati atau melindungi kepentingan
sendiri. Ini penting kerana ia dapat menonjolkan kelemahan sesuatu keputusan
yang akan diambil. Ia juga membenarkan kita untuk menyingkir, mengubah dan menyediakan
pelan kecemasan untuk mengatasi sebarang kemungkinan.
Topi hitam juga dapat membantu kita menjadikan perancangan yang
dibuat itu lebih kukuh dan fleksibel. Ia juga membantu kita dalam menjangkakan
risiko-risiko yang mungkin berlaku sebelum membuat sebarang keputusan.
- Topi merah
Menggunakan topi merah kita akan melihat sesuatu masalah itu
dengan menggunakan emosi atau intuisi sama ada secara positif atau negatif
tanpa perlu menjelaskan sebabnya dan bukan digunakan untuk mengubah sesuatu
perkara atau idea yang telah dibuat. Ia juga cuba untuk memahami macam mana
orang lain akan bertindak dengan emosi.
- Topi hijau
Topi hijau pula mewakili kreativiti. Ia melambangkan tenaga
pemikiran yang melihat sesuatu perkara dari perspektif yang baru dan juga
mengeluarkan idea-idea yang kreatif dalam kaedah penyelesaian masalah.Topi
hijau membantu kita untuk bergerak kehadapan dengan menjanakan idea-idea
alternatif yang lebih baik berbanding idea asal. Ia juga digunakan untuk
menyelesaikan atau memperbaiki masalah yang dilihat melalui topi hitam.
- Topi biru
Topi biru mewakili kawalan proses berfikir secara
keseluruhannya ataupun dalam bahasa yang lebih mudah ia digunakan untuk
mengawal kegunaan topi berfikir yang lain. Kebiasaannya, ia digunakan oleh pengerusi
mesyuarat atau ketua perbincangan. Ia boleh digunakan pada awal perbincangan
untuk menjelaskan perkara yang akan dibincangkan, menjelaskan tujuan sesuatu
perbincangan dan merancang corak pemikiran yang akan digunakan dalam
perbincangan tersebut. Pemikir yang memakai topi biru boleh bersuara semasa
perbincangan sedang berlangsung untuk mengawal perbincangan agar tidak kelam
kabut dan pengunaan topi lain adalah mengikut peraturan